Ibadah Haji Dahulu Telah Membuka Mata Hati Saya Yang Tertutup-Neelofa

Ibadah Haji Dahulu Telah Membuka Mata Hati Saya Yang Tertutup-Neelof|Tiada yang boleh diluahkan pengacara dan pelakon popular, Neelofa tentang desas desus yang bertebaran. Apa jua yang diperkata netizen, dia hanya mampu berdiam diri.

Sejujurnya, dia tidak menyangka sebegini hebat penangan drama, Suri Hati Mr. Pilot. Cakap sahaja, celah pelusuk mana tidak ditembusi, hati peminat ternyata pantas dicuri. Sementelah, fenomena #LoFattah bagaikan membanjiri laman-laman sosial, video dan gambar kemesraan mereka dikongsi oleh peminat yang masih tidak dapat berganjak daripada fantasi cinta drama tersebut.

Mahu tidak mahu, sama ada Neelofa atau Fattah sendiri, mereka tahu ada ‘harapan’ yang menanti. Melihat mereka menyulam cinta bersama dalam dunia sebenar, itu antara doa dan impian peminat. Namun kenyataan ‘saya masih solo’ Neelofa ketika mengacara MeleTop minggu lalu mencetuskan kontroversi. Ada yang melabelkan pengacara ini sebagai hipokrit dan dengan mudah menjatuh hukum kepada gadis berusia 27 tahun ini.

Tidak melenting, Neelofa menghadapi kontroversi dengan ketenangan hati selembut raut wajah anggunnya. Bicaranya juga disulami gelak tawa agar tiada hati yang terguris. Kepada Mega HITS secara eksklusif, Neelofa meluahkan rasa hatinya.

Yang terbuku di hati, dia leraikan satu per satu. Namun harus diingat ada perkara yang perlu disimpan rapat hanya untuk dirinya.

Mega HITS: Banyak pihak yang menjatuhkan hukum kepada Neelofa apabila mengeluarkan kenyataan sebegitu. Ketika itu, apa reaksi Neelofa?

NEELOFA: Saya terkejut dengan respons peminat usai mengeluarkan kenyataan seperti itu. Ingatkan tiada apa-apa yang berlaku. Saya tidak menyangka ada yang marah, cakap bukan-bukan. Saya kendalikan program itu seperti biasa ssehingga selesai tanpa menyangka ini akan berlaku. Apabila baca semua komen, sejujurnya saya betul-betul terkejut.

Kenapa Neelofa mengeluarkan kenyataan seperti itu? Apa yang mendesak jiwa Neelofa untuk meluahkan rasa hati?

Mungkin ketika itu saya rasa perlu ada satu kenyataan yang menjelaskan yang tersimpul selama ini. Saya sendiri terkesan dengan pelbagai artikel dan juga kenyataan daripada pelbagai pihak.

Tetapi Neelofa sedar atau tidak, ramai yang melabelkan anda sebagai hipokrit. Malah ada juga yang menyalahkan anda kerana ‘membunuh’ kenyataan Fattah tentang hubungan anda berdua.

Tidak adil untuk mana-mana pihak memarahi atau kurang berpuas hati dengan kenyataan tersebut. Sejujurnya, saya mahupun Fattah sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengiyakan desas desus tersebut. Beginilah, setuju atau tidak saya ada hak untuk bercakap apa sahaja tentang status saya. Saya boleh cakap masih solo atau sudah berkahwin. Itu semua terpulang kepada saya sendiri.

Adakah Neelofa terkesan dengan sambutan terlampau peminat terhadap #LoFattah? Sampai ada yang meminta agar anda dan Fattah bercinta. Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak.

Saya terharu dan berterima kasih dengan sambutan peminat terhadap drama tersebut. Saya dan Fattah sudah melakukan yang terbaik untuk drama itu. Namun apa pun yang terjadi, segala-galanya adalah ketentuan Allah. Sesiapa pun boleh berbicara sederas air yang mengalir namun ada yang tertulis pada hati saya hanya Allah yang tahu.

Kita beralih topik. Bakal mengerjakan umrah bersama-sama ahli keluarga 27 Disember ini. Mungkin Neelofa ada hajat yang terbuku pada hati untuk diluahkan di sana?

Semestinya kita ada niat tertentu apabila pergi mengerjakan umrah. Sejujurnya, apa sahaja yang berlaku ketika saya mengerjakan ibadah haji tidak lama dahulu betul-betul membuka mata saya.

Cuma saya tidak boleh menjelaskan perasaan itu kepada sesiapa pun. Cuma saya dan Allah yang tahu. Yang saya tahu, apabila berada di sana saya cukup tenang dan doa-doa akan mudah dimakbulkan.

Apa hajat yang begitu istimewa tersebut? Sedia untuk dikongsikan?

Biarlah untuk diri saya sendiri sahaja. Terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Cuma saya mohon peminat mendoakan yang terbaik untuk kelangsungan hidup saya dan keluarga.

Bila kita pergi sana, yang terbuku pada hati kecil kita adalah seikhlas-ikhlas doa. Cuma saya ada cakap dengan keluarga tentang niat tersebut. Biarlah rahsia.

Bila rancang untuk mengerjakan umrah? Adakah selepas kontroversi ini berlaku? Iyalah untuk menenangkan jiwa.

Bukanlah. Sebenarnya kami sudah merancang lama, ketika Oktober lagi (kalau) tak silap saya. Selalunya setiap tahun kami akan pergi bercuti dan kali ini saya memilih untuk mengerjakan umrah.

Semasa mengerjakan haji dulu saya berdoa kepada Allah supaya dipermudah langkah untuk mengunjungi tanah suci Mekah sebanyak yang saya mampu. Perasaan tenang dan terharu ketika berada di sana hanya saya yang tahu.

Tags: #cinta #fattah amin #hubungan #Neelofa