Hempuk Imam Solat Subuh” Tukang Bersih Kubur Dipenjara 3 Bulan

578 views

Hempuk Imam Solat Subuh” Tukang Bersih Kubur Dipenjara 3 Bulan |Kuala Terengganu: Seorang tukang bersih kubur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku memukul kepala seorang imam dengan besi ketika mangsa menunaikan solat Subuh.

Keputusan dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas Ahmad Shukri Ab Rani, 57, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul belakang kepala mangsa, Saifudin Hasan, 46, menggunakan besi di Surau Haji Yaakub Batu Buruk jam 6.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Mengikut fakta kes, mangsa yang mengimamkan solat Subuh di surau itu secara tiba-tiba dipukul dari belakang di kepalanya dengan besi.

Sebaik dipukul, mangsa tersungkur sebelum dibantu jemaah dalam surau berkenaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Akibat kejadian itu, mangsa bengkak di kepala sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Tertuduh dipercayai bertindak sedemikian selepas mendakwa mangsa memecahkan cermin kereta miliknya sebelum ini.

Tags: #Dipenjara #Hempuk #imam #solat subuh