Haruan songsang makan anak ditempat awam

46043 views

Gambar kecil adalah hiasan

Haruan songsang makan anak ditempat awam|Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini ke atas lima tuduhan melakukan perhubungan seks dan persetubuhan yang bertentangan dengan peraturan tabii terhadap dua anak tirinya antara April hingga 12 Julai lalu, lapor Berita Harian.

Tertuduh yang berusia 24 tahun masih bersama isterinya itu, bekerja sebagai penjaga kolam udang, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh dituduh melakukan perhubungan seks itu ke atas anak tiri lelaki berusia 7 tahun di sebuah rumah di tepi kolam udang di Mersing, antara jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam, antara 17 April hingga 12 Julai lalu.

Bagi dua lagi tuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama pada tarikh dan waktu yang sama terhadap anak lelakinya yang berusia 11 tahun di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah rumah di Endau dan di dalam kereta di kawasan pantai Mersing.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang membolehkan tertuduh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Tertuduh juga turut menghadapi tuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak lelakinya berusia 11 tahun tanpa kerelaan di dalam kereta di kawasan pantai Mersin antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, antara 17 April hingga 12 Julai lalu.

Bagi tuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap mangsa yang sama di sebuah kilang di Mersing antara jam 8.30 malam hingga 9.30 malam pada tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes, membacakan fakta kes dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tags: #Haruan songsang makan anak ditempat awam