Gol ajaib Faiz rangkul Anugerah Puskas FIFA 2016

136 views

 

Gol ajaib Faiz rangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 |Mohd Faiz Subri dari Malaysia merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut

hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).

Kejayaan meraih anugerah tersebut menggembirakan jutaan rakyat Malaysia, yang jauh beribu kilometer daripada suasana musim sejuk di bandar tasik Swiss itu.

Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

“Secara jujur, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan mencapai ke tahap ini dan berada sebaris dalam kalangan pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang hebat ini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Mohd Faiz, yang meraih 59.46 peratus undi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukannya, keluarga dan peminat yang menyokongnya.

“Saya juga terhutang budi kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), yang mencalonkan jaringan saya kepada FIFA untuk dinilai,” katanya.

Mereka yang ingin menonton jaringan ajain Faiz boleh ke pautan berikut: https://youtu.be/4lRTLRCuGkE – Bernama.Kosmo

Tags: #Gol ajaib Faiz rangkul Anugerah Puskas FIFA 2016