Gadis Paling Tabah

677 views

oklks

Gadis Paling Tabah|Hasrat seorang pelajar menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selepas terpaksa ponteng sekolah lebih sebulan kerana menjaga bapanya yang lumpuh, tercapai apabila dia diberi peluang menjawab peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap, hari ini.

Nurul Fatin Aina Badrul Hisham, 15, anak kedua daripada empat beradik di Kampung Padang Cenerai, menggalas tanggungjawab itu bersama abang dan adiknya berikutan bapanya, Badrul Hisham Tajudin, 43, terlantar akibat serangan angin ahmar Ogos lalu.

Nurul Fatin Aina berkata, dia berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim, kerana menguruskan pertukaran sekolahnya dengan segera sehingga membolehkan dia dan adiknya, Nurul Farawahida,14, belajar di sekolah itu mulai hari ini.

“Sebelum ke sekolah hari ini, saya dan adik bangun seawal jam 5 pagi untuk masak dan sediakan makan untuk ayah. Selepas mandikan ayah, barulah saya dan adik bersiap ke sekolah. “Mengenai PT3, saya hanya buat persiapan secara sederhana dan mengulangkaji pelajaran setakat yang mampu, namun saya tetap berharap dapat menjawab soalan dengan baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Selepas ibu bapanya bercerai, Nurul Fatin Aina dan Nurul Farawahida tinggal bersama ibunya serta bersekolah di SMK Taman Ria Sungai Petani.

Abang sulung mereka, Muhammad Azrul Fakhrullah, 16, dan adik bongsu Muhammad Syakir Zulfayri, 11, pula dibesarkan bapa mereka. Bagaimanapun, Nurul Fatin Aina dan Nurul Farahwahida memutuskan untuk tinggal bersama bapa mereka bagi memastikan keperluan orang tuanya itu terurus.

Sementara itu, Badrol Hisham pagi tadi menjemput Nurul Fatin Aina dan Nurul Farawahida sebelum menghantar mereka ke sekolah bagi memberi semangat kepada mereka mengharungi PT3 dan bersekolah di tempat baharu. Hari ini, seramai 34,074 calon menduduki PT3 di 228 pusat peperiksaan di seluruh Kedah.

Tags: #Gadis #paling tabah #ponteng #Sekolah

loading...