Dua Rakan Bunuh Yatim Piatu Terlepas Hukuman Gantung

223 views

Dua Rakan Bunuh Yatim Piatu Terlepas Hukuman Gantung|Dua sahabat terlepas daripada hukuman gantung selepas mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, pada Januari 2015 lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes terbabit.

Kedua-dua tertuduh, V Ravinthiran, 31, dan N Liemeshwaran, 23, yang mendengar keputusan itu terus memeluk ahli keluarga masing-masing.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dituduh membunuh Muneeswaran, 16, di kawasan parkir berhampiran Jalan Dr Lim Chwee Leong, antara jam 10 pagi hingga 7.40 malam, pada 21 Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, satu-satunya bukti dikemukakan kepada pihak mahkamah adalah keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada kayu dan botol yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh mangsa.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati bukti yang dikemukakan adalah tidak mencukupi. Justeru, mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamdzah Othman, manakala Ravinthiran diwakili peguam RSN Rayer dan Liemeshwaran diwakili peguam Rafael Abdullah.

Update terdahulu:

Dituduh Mencuri, Anak Yatim Piatu Mati Dipukul Di Pulau Pinang

Hanya kerana dituduh mencuri sesuatu daripada majikannya, seorang remaja telah dipukul sehingga mati.

Mayat individu tersebut yang berusia 16 tahun ditemui dengan kesam lebam dan berbirat di seluruh tubuh, dipercayai akibat dibelasah di sebuah premis mencuci kenderaan di Lebuh Carnarvon, malam tadi (Rabu).

Apa yang menghibakan, remaja malang itu, Muneeswaran, merupakan seorang anak yatim piatu.

Menurut Datuk Mazlan Kesah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, pihak polis kini sedang menyiasat tempoh remaja itu telah bekerja di premis tersebut kerana mangsa masih berada di bawah jagaan sebuah rumah anak yatim persendirian di Jalan Scotland.

Memetik kenyataannya di portal The Rakyat Post, “Polis percaya lebih dari dua suspek terlibat dan kami turut menemui kerusi plastik yang telah patah dan kabel elektrik sepanjang 0.9 meter dipercayai digunakan untuk memukul mangsa

Tags: #Bunuh #dua rakan #hukuman gantung #Terlepas #yatim piatu