Dua Maut Tersepit

375 views

Dua Maut Tersepit|DUA lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan bas persiaran di Jalan Serting Hulu Jempol, Jempol, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an maut di lokasi kejadian akibat tersepit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.15 pagi dan bergegas ke lokasi bersama tiga jentera dan 18 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pertang.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati bas yang tiada penumpang itu menghempap kereta dinaiki tiga lelaki dari arah Simpang Pertang yang terbabas dalam longkang di tepi jalan.

“Pihak bomba terpaksa meminta bantuan kenderaan berat untuk mengalihkan bas itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan mangsa.

“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira sejam kerana semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya di Jempol, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, pemandu bas persiaran itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala semua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk tindakan selanjutnya.

Tags: #Dua Maut Tersepit