Dua beradik yatim gara-gara pemandu mabuk

2446 views

Dua beradik yatim gara-gara pemandu mabuk|Jururawat maut selepas keretanya dihempap kereta lain dipandu lelaki dipercayai mabuk yang terbalik dalam kemalangan di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di Bukit Mertajam, awal pagi tadi

Dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan pada 7.30 pagi itu, mangsa Nur Hidayah Mahmud, 32, beralamat di Pengkalan Hulu, Perak maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki, 44, dipercayai mabuk merempuh Toyota Altis di laluan arah ke Kulim.

Menurutnya, akibat itu kereta Toyota Vios berkenaan terbalik sebelum menghempap Perodua Viva dipandu mangsa di laluan menghala Seberang Jaya.

“Kereta dipandu jururawat itu terbabas kira-kira 77 meter ke bahu kiri jalan dan sebuah pacuan empat roda juga merempuh kereta dipandu lelaki berkenaan.

“Anggota bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian pada 7.36 pagi tiba sebelum mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Menurutnya, pemandu Toyota Vios dan Toyota Altis cedera lalu mendapatkan rawatan di hospital, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Katanya, polis sudah mengambil sampel darah pemandu Toyota Vios dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tags: #dua beradik #gara-gara #pemandu mabuk #Yatim