Denda Sahaja,Yang Kau Lari Macam Nampak Hantu Dah Kenapa-Hakim

871 views
Gambar hiasan

Gambar hiasan

Denda Sahaja,Yang Kau Lari Macam Nampak Hantu Dah Kenapa-Hakim|Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang melarikan diri dari Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, berbuat demikian kerana panik menyangka dia bukan sahaja dikenakan denda tetapi juga hukuman penjara sedangkan majistret hanya menjatuhkan hukuman denda terhadapnya.

Pegawai Penjaga Mahkamah Deputi Superintendan Zulkifli Osman berkata, lelaki itu, Saiful Anuar Abdul Halim, 24, melarikan diri dari mahkamah pada 1.40 tengah hari dan menyerah diri pada 4.30 petang hari yang sama.

Beliau berkata, timbalan pendakwa raya mahkamah membawa lelaki itu bertemu majistret.
Menurutnya, lelaki itu dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara kerana menampar seorang pengawal keselamatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Lelaki itu panik kerana menyangka dia bukan sahaja dikenakan denda tetapi juga hukuman penjara.

“Majistret hanya menjatuhkan hukuman denda dan jika dia gagal membayar denda itu, barulah kena penjara tiga bulan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Saiful Anuar membayar denda itu dan dia tidak dikenakan tindakan bagi kesalahan melarikan diri kerana majistret sudah memberi peringatan kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Zulkifli berkata, lelaki itu bersembunyi dalam kompleks mahkamah Jalan Duta dan polis dan pengawal keselamatan mengambil langkah pantas menutup pintu masuk kompleks.

Semalam, Mahkamah Majistret 1 di sini kecoh seketika apabila seorang lelaki yang dijatuhi hukuman denda melarikan diri ketika prosiding kes itu masih berlangsung.

Tags: #Denda Sahaja #Yang Kau Lari Macam Nampak Hantu Dah Kenapa