Datin Zalim Berjaya Dikesan

2294 views

Datin Zalim Berjaya Dikesan|Polis sudah berjaya menjejak wanita bergelar ‘Datin’ yang lesap selepas mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya untuk memastikan dia hadir ke mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, usaha menjejak wanita itu dimulakan sejurus mendapat notis daripada pihak mahkamah, bagaimanapun tidak mendedahkan bila notis berkenaan diterima dan lokasi wanita itu.

“Kita guna kaedah tertentu untuk menjejaknya dan dia sudah beri persetujuan untuk hadir ke mahkamah.

“Jangan tanya bilakah dia akan ke mahkamah, tetapi Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ditanya mengenai status gelaran ‘Datin’ wanita itu, Mazlan berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan wanita terbabit mempunyai gelaran berkenaan.

“Sepanjang proses siasatan, wanita itu tidak pernah pun menyebut yang dia mempunyai gelaran Datin.

“Anda yang menggelarnya sedemikian,” kata Mazlan.

Kelmarin, Rozita Mohamad Ali, 44, dan penjaminnya, gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad yang mengendalikan prosiding berkata, pihaknya sudah cuba mengesan Rozita dan penjaminnya di beberapa lokasi sejak Selasa lalu untuk menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah, namun gagal.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini.

Tags: #Datin Zalim Berjaya Dikesan