Cuma 2 Syarat Poligami Di Malaysia Yang Suami Perlu Tahu! Sumber JAKIM

1944 views

Cuma 2 Syarat Poligami Di Malaysia Yang Suami Perlu Tahu! Sumber JAKIM

Kami pasti topik ini akan mengundang kemarahan dari para isteri di luar sana.  Artikel dari JAKIM ini akan memfokuskan kepada isu poligami kerana ia sering menimbulkan pro dan kontra di dalam masyarakat termasuk di kalangan umat Islam. Kaum lelaki mendabik dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala kaum wanita pula berkeras enggan dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Lantaran itu topik ini cuba digarap dengan melihat konsep poligami mengikut hukum syarak dan perlaksanaannya mengikut undang-undang syariah di Malaysia.
Cuma 2 Syarat Poligami Di Malaysia Yang Suami Perlu Tahu! Sumber JAKIM
Sekali lagi diberitahu, ini adalah informasi dari JAKIM dan bukan tulisan kami sendiri. Ini sekadar perkongsian. Jika ingin tahu maklumat penuh kandungan PDF ini, sila ke perenggan terakhir artikel ini. Mari kita lihat, apa  2 syarat poligami di Malaysia.
1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri
Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri. Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian nafkah kepada isteri iaitu :
  1. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,
  2. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurutkesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.
Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al- ‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan bahawa sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.
2. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri
Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat : 129
poligami-surah-an-nisa-ayat-129
Mafhumnya :
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

2.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman

Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah, pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama.
Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan ister-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan.

2.2. Adil Dalam Giliran Bermalam

Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri- isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya :
poligami-hadis-nabi-riyawat-anas
Mafhumnya :
“ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”.
(Riwayat Muslim)
Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari :
poligami-hadis-nabi-riwayat-al-bukhari
Mafhumnya :
“ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.

2.3. Adil Dalam Musafir

Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri- isteri sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari :
poligami-hadis-nabi-riwayat-aisyah
Mafhumnya :
“ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di antara isteri-isterinya ”.
Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.
Sudah selesai membaca artikel ini keseluruhannya? Fikir baik-baik, besar atau tidak tanggungjawab bila beristeri lebih dari satu? Mampukah suami melakukan semua perkara ini. Walaupun dua sahaja, ia sungguh berat.
Masih lagi ada keinginan untuk berpoligami? Jika anda antara orang yang terus ‘skip’ ke bahagian perenggan terakhir untuk dapatkan informasi tentang poligami dari JAKIM berbentuk PDF, boleh download di sini.
Semoga bermanfaat!
Sumber

Tags: #Cuma #JAKIM #Malaysia #Perlu #Poligami #suami #Sumber #syarat #Tahu #Yang