Cium Peluk Terakhir

408 views

Cium Peluk Terakhir|“Dalam tempoh dua jam, saya kehilangan empat ahli keluarga tersayang terutama anak sulung (Aniq Anaqi) yang baru sahaja memasuki usia enam bulan,” kata Mohamad Fazzli Toriman, 30.

Aniq Anaqi meninggal dunia dunia di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, tengah hari tadi.

Turut terkorban, isteri Mohamad Fazzli, Munira Abd Rahim, 30; serta ibu bapa mentua, Abd Rahim Abd Ghani, 61, dan Siti Fatimah Amat, 55.

Ketika ditemui di Bilik Mayat HTAJ, Mohamad Fazzli berkata, dia sempat mencium dan memeluk anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja di Teluk Intan.

“Saya sempat berpesan kepada isteri (Munira) untuk berjumpa di kampung, Khamis ini sebelum mereka bergerak dari rumah pada 10 pagi tadi.

“Namun, tidak sampai dua jam, saya mendapat panggilan dari abang kedua, Mohamad Fauzie, 36, yang memaklumkan bahawa isteri saya serta anak dan ibu bapa mentua terbabit dalam kemalangan dan ketika itu, saya merasakan dunia gelap sebentar,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohamad Faeeiz, 22 berkata, dia tidak menyangka panggilan yang diterima dari telefon bimbit Munira adalah panggilan yang mengejutkan buat dia sekeluarga.

“Pada mulanya, saya ingatkan kakak ipar (Munira) menghubungi saya kerana ada perkara mustahak. Namun, jangkaan itu meleset selepas orang awam menggunakan telefon bimbit kakak ipar dan memberitahu dia dan ahli keluarga lain terbabit dalam kemalangan.

“Malah, saya meminta individu itu mengesahkan kejadian berkenaan dan dia membacakan maklumat kad pengenalan kakak ipar. Ketika itu, badan terasa lemah apabila mengetahu kejadian itu,” katanya.

Mohamas Faeeiz berkata, dia turut terkilan kerana tidak sempat berjumpa Aniq Anaqi sejak anak saudaranya itu lahir enam bulan lalu.

Jenazah keempat-empat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Kampung Sungai Sireh, Sabak Bernam, malam ini.

Tags: #4 maut #Bayi #Cium #Peluk #Terakhir