Budak koma 3 hari selepas didera hembus nafas terakhir

1498 views

Budak koma 3 hari selepas didera hembus nafas terakhir|Seorang kanak-kanak lelaki empat tahun menghembuskan nafas ter­akhirnya hari ini setelah koma selama tiga hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.

Difahamkan, kanak-kanak malang tersebut merupakan anak sulung daripada tiga beradik hasil daripada hubungan terlarang pasangan terbabit sejak beberapa tahun lalu.

 

Menurut sumber, ibu mang­sa, 29, dan teman lelakinya yang merupakan warga Afrika telah bertindak meninggalkan kanak-kanak itu di sebuah hospital swasta di Cheras dalam keada­an tidak sedarkan diri sebelum menghilangkan diri.

“Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan serta pendarahan otak kemudian dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua suspek disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kini melarikan diri bersama dua lagi anak lelaki mereka yang masing-masing berusia 2 tahun dan 5 bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Tambahnya, mangsa meni­ng­gal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan mayatnya dituntut ahli keluarga ibunya yang berjaya dikesan pihak hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak HKL.

“Kita ada menerima laporan polis berhubung kes tersebut beberapa hari lalu dan ibu mangsa juga ada membuat laporan pada hari yang sama.

“Sebelum ini kes diklasifikasikan sebagai dera dan disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun dengan perkembangan terbaharu ini, kita perlu menunggu hasil bedah siasat,” katanya.

Tags: #Budak koma 3 hari selepas didera hembus nafas terakhir