Budak 7 tahun maut kena wabak rabies

240 views

Budak 7 tahun maut kena wabak rabies|Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terbaru wabak rabies di Serian Sarawak iaitu kes rabies ketiga, seorang kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun dari Kampung Lebor, Serian telah meninggal dunia pada pukul 2:16 petang 13 Julai 2017 akibat rabies encephalomyelitis.

Sehingga 13 Julai 2017, terdapat empat (4) kes disahkan rabies di Serian, Sarawak di mana tiga (3) kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang dirawat di wad PICU Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan kritikal. Tiada kes rabies baru dilaporkan.

Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak. Aktiviti ACD telah dilaksanakan di 96 penempatan yang melibatkan 5,663 rumah dan 21,978 penduduk ditemuduga bagi sejarah gigitan anjing.

Sebanyak 225 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk kampung berkenaan.

KKM ingin menasihati orang awam yang tinggal di Daerah Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit rabies:

1.Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gigitan anjing (anjing peliharaan atau anjing liar);

2.Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak dengan anjing liar;

3.Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan;

4.Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan

5.Sentiasa kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan atau anjing liar.

KKM dan JKN Sarawak sentiasa dan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain berkaitan bagi memastikan jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan berlaku.

Tags: #Budak 7 tahun maut kena wabak rabies