Bermula 1 Jun, Lelaki Islam Tak Solat Jumaat Akan Di Penjara

442 views

solatKalangan lelaki Islam yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah di negeri ini akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, undang-undang itu akan mula dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini.

“Pesalah yang melakukan elemen kesalahan iaitu tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, tidak menunaikan solat di masjid di dalam kariah sendiri, tidak uzur syarie dan tidak ada alasan munasabah boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen tersebut.

“Sekiranya pesalah melakukan kesalahan yang dinyatakan itu, mereka boleh dikenakan saman tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JHEAIK di sini semalam.

Kata beliau, pihaknya tidak akan mengeluarkan saman secara membuta kerana setiap tindakan akan dibuat berdasarkan aduan.

“Kita akan siasat dan bertindak mengikut kes yang dilaporkan oleh orang awam terutama sekali yang tinggal di dalam kariah sendiri.

“Jika pesalah gagal untuk memberikan kerjasama, kita akan mohon waran tangkap daripada Hakim Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Menurut Ahmad Fisol, perkara itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 yang telah diluluskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu.

“Tarikh penguatkuasaan telah bermula pada 1 Februari 2015 tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JHEAIK akan mula menguatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Jun ini bagi memastikan umat Islam di negeri ini tidak meninggalkan solat Jumaat,” jelasnya.

Tambahnya, orang awam boleh mendapatkan borang aduan untuk melaporkan mengenai mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat di pejabat-pejabat agama di setiap daerah.

“Maklumat pelapor akan dirahsiakan dan mereka akan dijadikan sebagai saksi bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pesalah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0512&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3ZrYErDc3
Hakcipta terpelihara