Berita Baik: Caj Telefon Bimbit Dijangka Turun

461 views

cajSeramai 43.7 juta pemilik telefon bimbit di negara ini bakal menerima berita gembira apabila kerajaan sedang berusaha mencari formula terbaik membolehkan pengguna menikmati caj perkhidmatan telekomunikasi yang lebih rendah berbanding kadar sedia ada ketika ini.

Jika formula itu berjaya direalisasikan dalam masa terdekat, ia merupakan khabar gembira berganda buat rakyat Malaysia selepas kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersama 16 pasar raya utama di seluruh negara berjaya menurunkan harga 82,000 barang bermula kelmarin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar kecil) berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan perbincangan dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) di negara ini bagi mencari kaedah atau formula yang bersesuaian.

Namun jelasnya, kadar baharu yang lebih rendah itu perlulah seimbang dan tidak menjejaskan operasi syarikat berkenaan serta perlu mengambil kira kos yang telah dilaburkan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan di seluruh negara.

“Sudah tentulah kerajaan mahukan caj perkhidmatan ini lebih rendah berbanding sekarang agar ia tidak memberi beban kepada rakyat.

“Tetapi pada masa sama, kita mahukan mutu perkhidmatan telekomunikasi yang ditawarkan adalah terbaik terutama dari segi kepantasan capaian dan keluasan kawasan liputan.

“Sebab itulah kita perlu bincang dengan syarikat telekomunikasi untuk cari kaedah terbaik mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Penghakupayaan Usahawan Wanita Merentas Media Baharu di Universiti Sains Malaysia, di sini semalam

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3THFQptvz
Hakcipta terpelihara

Tags: #Caj telefon bimbit #caj terkini telefon

loading...