Bendatu selalu temankan adik tidur

4780 views

Bendatu selalu temankan adik tidur|Kanak-kanak perempuan berusia lima atau enam tahun ini kerap ditinggalkan seorang diri di rumah ketika ibunya keluar bekerja. Pernah menceritakan kepada ibunya bahawa dia ternampak ‘sesuatu’, namun tidak diendahkan kerana menyangka anaknya mungkin saja mereka-reka cerita.

Sehinggalah pada pagi hari raya apabila si ibu cuba merakam gambar anaknya di dalam rumah itu, ternampak satu ‘cahaya putih’ yang tidak diketahui dari mana datangnya. Menurut ustaz yang melihat gambar itu, katanya ada ‘benda’ yang ingin berdamping dengan kanak-kanak berkenaan.

MY SISTER AND HER ‘FRIEND’

Sambil-sambil tengok detik jam 12 malam ini, nak kongsi cerita sikit. Hahaha!. So saya dengan adik saya hidup terpisah sejak dari kecil. Ibu bapa kami bercerai semasa adik berumur dua tahun. Adik duduk dengan Umi, manakala saya, abang dan kakak duduk dengan abah. So adik memang membesar seorang-seorang.

Umi bekerja dan tidak mampu hantar adik pergi nursery. Saya ikut abah duduk di Selangor dan Umi di Kuantan. Kami jarang berjumpa. Setiap kali Umi bekerja, Umi tinggalkan adik seorang diri di rumah, dari dia kecil lagi. Umi hidup berpindah randah, kadang-kadang menumpang di rumah orang. Ada duit sikit, Umi sewa bilik. Bila dah mampu, Umi sewa rumah.

Satu hari, Umi pindah masuk ke rumah baru, rumah setingkat tetapi cukup besar untuk dua orang duduk. Adik selalu kena tinggal keseorangan di rumah itu. Rumah itu ada tiga buah bilik dan ada ruang dining yang besar gile.

Dulu Umi pernah sewakan salah satu bilik dalam rumah itu kepada dua orang perempuan. Selalunya mereka yang akan menjaga adik semasa Umi bekerja. Mereka baik tetapi tak menyewa lama. Selepas mereka berpindah, adik kembali duduk di rumah itu seorang diri.

Adik pernah cerita yang dia selalu nampak ada benda putih terbang melepasi dinding. Tetapi seperti biasa, dia budak mana ada orang nak percaya? Umi dulu kadang-kadang syif malam, jadi adik selalu tidur seorang diri di rumah. Adik kata benda itu yang selalu menemani dia tidur, selalu ada di tepi katil dia. Bila terjaga di tengah malam pun, benda itu masih ada. Bila adik cerita pada Umi, Umi gelak.

Rumah Umi ini tak banyak perabot. Di ruang tamu cuma ada sofa, rak televisyen dan satu pasu di sebelah rak televisyen. Pasu itu ada sejak Umi dengan abah lagi. Kira dah lamalah.

Setiap kali saya balik ke rumah Umi, kami akan tidur di bilik depan, kira master bedroomlah. Dan setiap kali subuh, Umi akan kejutkan seorang-seorang dan kami akan solat di bilik belakang sekali. Untuk pergi ke bilik belakang, perlu melepasi ruang tamu dan dining room itu. Dining room itu memang luas jika dibandingkan dengan ruang tamu.

Selalu Subuh itu memang Umi tak buka lampu, maka jalan sajalah dalam keadaan gelap ke bilik belakang. Dan setiap kali saya lalu ruang tamu, saya selalu rasa ada sesuatu. Kadang-kadang terperasan seperti ada orang yang sedang solat. Tetapi masuk bilik, tengok semua orang sedang tidur.

Kadang-kadang macam terdengar bunyi di dapur. Tetapi saya biarkan saja sebab mungkin perasaan saya saja agaknya. Hahaha! Seram juga tetap acah-acah berani. Tetapi memang kerap sangat dah rasa. Namun kami semua buat tak kisah saja.

So bermulalah masa raya tahun bila tak ingat. Umi raya berdua saja dengan adik. Masa itu adik berumur lima atau enam tahun. Gambar ini dirakam pada masa pagi raya. Gambar ini adalah gambar ketiga yang Umi snap.

Mula-mula Umi snap gambar ini, dah ada cahaya putih itu. Jadi Umi buang dan ambil sekali lagi dengan posisi yang lain. Tetapi cahaya putih itu masih kelihatan membuatkan Umi berasa pelik. Umi pun tutup langsir dan memang tak ada cahaya matahari pun. Kali ketiga snap, inilah gambar yang dirakam dan cahaya itu tetap berada di situ walaupun posisi merakam itu sudah berubah. Jadi, Umi biarkan sajalah.

Selepas itu, Umi balik ke kampung. Biasalah raya kan, kemudian sampai Umi pun tunjuklah gambar itu kepada orang dan kebetulan pula ada seorang ustaz berada di rumah tok. Ustaz itu kata dia rasa lain macam gambar itu. Rupanya cahaya itu adalah ‘benda’ itu.

Ustaz cakap ada ‘benda’ nak berkawan dengan adik. Rupanya benda itu selalu menemani adik setiap kali adik seorang diri di rumah. Dan paling seram rupanya ‘benda’ itu tinggal di dalam pasu di tepi rak televisyen. Bayangkan, duduk di ruang tamu dan ‘benda’ itu berada di situ.

Sepanjang Umi duduk di rumah itu, rupanya ‘benda’ itu dah lama menumpang dalam pasu. Selepas adik dah besar sikit, Umi pindah rumah dan pasu itu Umi simpan di rumah tok. Tapi tak tahu ‘benda’ itu ada lagi ke tak, tetapi ‘benda’ itu memang tak kacau orang. Dia cuma temankan adik dan Umi tak adalah panggil ustaz untuk ‘bersihkan’ sebab ‘benda’ itu tak kacau orang. Maka Umi pun tak kacau dia.

Tetapi semenjak itu memang rasa seram sikit kalau balik ke rumah tok. Lagi pula rumah tok dah tak ada orang duduk sekarang. Alhamdulillah sekarang dah tak ada agaknya. Tetapi beberapa bulan lepas, Umi panggil kawan yang boleh rasa kehadiran ‘benda’ itu, datang ke rumah baru Umi untuk betulkan paip bocor. Tetapi dia rasa ‘benda’ lain. Adik duduk seorang diri di tingkat atas dan rumah tak adalah besar mana. Ada dua bilik di tingkat atas. Satu bilik adik dan satu lagi bilik barang-barang dan dia kata rasa macam ada ‘benda’ di bilik adik.

Umi kata kawan dia dah halau ‘benda’ itu. Wallahualam. Rasanya dah tak ada apa-apa. Cuma itulah, adik menjadi pemalas teruk. Umi kata, sebab ‘kawan’ selalu ajak dia bermain. Hahaha! Okay, Umi mungkin bergurau agaknya. Hahaha! Beware kalau korang menjadi pemalas tiba-tiba.

Sampai situ sajalah ceritanya. Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca. Boleh zoom gambar kalau nak tengok pasu itu. By the way, memang tak seram pun. Tapi saja nak kongsi. Hehehe!

Saya harap pembaca semua faham yang ibu bapa kami tidak sempurna. Mereka buat silap, ibu saya tak ada pilihan. Dia bekerja di pelabuhan yang mana adalah bahaya untuk membawa adik saya ke tempat kerjanya. Jadi adik terpaksa tinggal di rumah. Malah sebelum mereka bercerai pun, saya dan adik-beradik saya memang sudah biasa kena tinggal.

Mungkin ada yang akan kata ‘apa punya mak lah tinggalkan anak’ atau apa-apa, tetapi kami tak tahu apa yang ibu lalui selepas bercerai dari segi mental dan fizikal. Tak pernah kerja, tiba-tiba kena bekerja dan besarkan anak walaupun seorang diri. Pastinya ia satu detik yang sukar.

Tambahan: Sebab ramai sangat yang rasa pelik. Gambar ini bukan gambar zaman tok kadok, gambar ini dirakam menggunakan telefon bimbit Nokia. Bukan guna kamera kodak. Tetapi telefon biasa-biasa saja dengan kualiti yan rendah, sebab itu nampak lama. Gambar ini dirakam sekitar tahun 2009/2010, tak ingat sangat.

Sumber: Aina Ramly

Tags: #Bendatu selalu temankan adik tidur