Benarkah Durian Belanda Merawat Kanser Seribu Kali Lebih Baik Dari Kemoterapi

 

Benarkah Durian Belanda Merawat Kanser Seribu Kali Lebih Baik Dari Kemoterapi|Graviola (Annona muricata), atau lebih dikenali sebagai durian belanda, sirsak, guanabana atau soursop adalah buah tempatan yang mula mendapat perhatian mutakhir ini. Graviola mendapat tempat dan permintaan setempat bukan hanya kerana rasanya yang enak dan menyegarkan untuk dimakan begitu saja dan dibuat jus, ianya juga dikatakan bermanfaat tinggi untuk kesihatan. Daunnya juga dijadikan teh untuk ubatan secara tradisi.

Graviola dan kanser

Banyak kajian in vitro (pada sel-sel dalam makmal) dan in vivo (pada binatang makmal seperti mencit dan tikus) menunjukkan ekstrak-ekstrak dari buah, daun dan bahagian pokok adalah poten untuk mematikan sel-sel dan tisu kanser tersebut. Kajian ini telah dilakukan sejak puluhan tahun yang lepas.

Beberapa kompaun poten ini telah dipencilkan dan dikaji ciri-cirinya dengan terperinci. Antara kompaun-kompaun tersebut adalah kompaun dari kelas acetogenins contohnya annonacin, annonin, bullatacin, uvericin dan isoquinoline seperti annonamine.

 

Namun, mengapakah tiada kompaun-kompaun aktif ini muncul sebagai salah satu dalam regimen rawatan kanser?

Ini mendorong pelbagai teori konspirasi bahawa kaedah rawatan dari tumbuhan ini dirahsiakan kerana boleh menutup nilai ringgit yang diperoleh dari rawatan sedia ada (rawatan baru lebih mahal dari rawatan sedia ada yang telah tamat tempoh paten). Ada juga yang menyatakan kompaun tumbuhan tidak boleh dipaten dan tidak akan menyumbang tenggorok ‘big pharma’ yang lapar wang ringgit (banyak kompaun dari tumbuhan yang telah disintesis dan dipaten). Sumber rawatan tradisional kita tiada nilai bagi barat (tumbuhan ini bukan native Asia, dibawa dari Afrika, Amerika Selatan dan Carribean). Andaian-andaian ini adalah tidak benar dan tidak berasas.

Ada banyak kajian tentang kaitan insiden atipikal penyakit Parkinson dan Alzheimer dikesan di kelompok komuniti yang tinggi pengambilan graviola dalam diet mereka. Gejala ini dapat dilihat pada komuniti di Carribean dan French West Indies yang mengalami banyak kes Parkinson dan Alzheimer tanpa sebab yang khusus. Banyak kajian telah dilakukan dalam komuniti ini dan didapati pengambilan graviola yang tinggi dalam diet mereka adalah penyumbang gejala ini. Kajian lanjut menunjukkan pengurangan ketara neuron-neuron penghasil dopamin dalam otak mereka.

Menariknya, kaedah pengambilan graviola ini meliputi pengambilan buah secara mentah atau teh daun graviola dengan kaedah rendaman dalam air panas.

 

Adakah produk berasaskan graviola selamat?

 

Berhati-hatilah apabila anda disua dengan pelbagai produk jualan yang berasaskan graviola ini. Walaupun diberitakan ia mempunyai kelebihan-kelebihan yang menarik, malang sekali kelebihan itu sebenarnya akan mengakibatkan kesan sampingan yang teruk secara senyap (siapa yang perasan neuron otaknya berkurangan, kan?).

Sesekali meminum jus graviola atau memakannya sebagai kudapan tidak mengapa. Tetapi mengambilnya secara berkala setiap hari atau setiap minggu mengundang bahaya!Rootofscience

 

Tags: #Benarkah Durian Belanda Merawat Kanser Seribu Kali Lebih Baik Dari Kemoterapi