Bayi Perempuan Diserang Biawak Kini Stabil, Terima 50 Jahitan

783 views



KUANTAN, 23 Sept (Bernama) — Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan menerima 50 jahitan selepas cedera di bahagian muka dan kepalanya setelah diserang oleh seekor biawak ketika berada di dalam walker, di hadapan pintu dapur rumahnya di Pulau Tioman pagi Isnin.

Dalam kejadian di kuarters pekerja Berjaya Resort pada 10 pagi itu, bayi berkenaan Nor Hidayah Abdul Rahman dilaporkan ditinggalkan di situ seorang diri sementara ibunya Noraudah Maisarah, 39, seorang suri rumah sedang menyenduk bubur di dapur.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata secara tiba-tiba datang seekor biawak dari arah luar terus menyerang bayi malang berkenaan.

“Melihat keadaan itu, wanita berkenaan terus bertindak menyelamatkan anaknya dan menghalau haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini pada Selasa.

Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada bapa mangsa Abdul Rahman Ismail, 38, seorang penyelenggara di resort berkenaan yang ketika itu sedang bekerja, sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

Johari berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Mersing sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pihak Jabatan Perhilitan telah dimaklumkan tentang perkata tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, bayi malang berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di HSA.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata doktor dan kakitangan HSA terus memantau keadaan kesihatan bayi terbabit di wad kanak-kanak hospital berkenaan selepas dipindahkan dari Hospital Mersing pada Isnin.

“Keadaan bayi itu stabil. Bayi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka akibat dicakar haiwan itu dan doktor telah mencuci luka itu serta menjahitnya.

“Keseluruhannya, lebih kurang 50 jahitan tetapi doktor menggunakan jarum dan benang paling halus. Luka paling panjang 8cm di atas kening kiri berbentuk ‘L’.

“Pihak hospital terus memantau keadaan kesihatannya terutama di bahagian yang mengalami kecederaan itu kerana bimbang dijangkiti bakteria,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Ayub, bayi perempuan itu dimasukkan ke wad di HSA 8.30 malam semalam selepas menempuh perjalanan selama beberapa jam dari Mersing. – BERNAMA

Tags: #Bayi #Biawak #Diserang #Jahitan #kini #Perempuan #Stabil #terima