Bayi maut terhentak pada ‘dashboard’

5517 views

 

Bayi maut terhentak pada ‘dashboard’|BAYI perempuan berusia lapan bulan maut selepas kenderaan dinaiki keluarganya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70 Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran Dusun Panti di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ashmon Bajah berkata, kejadian pada 5.10 petang itu mengakibatkan mangsa dari Endau, Mersing maut di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa bersama keluarganya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Secara kebetulan pada masa sama sebuah Proton Wira dari arah Johor Bahru ke Mersing tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta keluarga mangsa.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia kerana cedera di kepala akibat hentakan pada papan pemuka kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Ashmon berkata, seorang lelaki, 33, maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Mersing.

Katanya, kejadian berlaku pada 7.30 malam mengakibatkan mangsa Rosli Suder dari Kampung Mawai meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tags: #bayi maut #dashboard #terhentak pada