Baru terbaca pesan suami selepas 3 minggu meninggal

2468 views

Baru terbaca pesan suami selepas 3 minggu meninggal|PETALING JAYA: Seorang wanita tidak menyangka rindu menebal terhadap arwah suami tercinta telah mengingatkannya kepada satu amanat yang sehingga kini masih belum tertunai.

Semuanya selepas membaca semula mesej terakhir arwah yang pergi menghadap Ilahi, ketika genap tiga minggu mereka bergelar suami isteri.

“Sayang bila I baca balik, I baru teringat sehari sebelum nikah you ada cakap suruh I sedekahkan mas kahwin I pada tahfiz atau masjid.

“Sampai you cakap you nak perkahwinan ni berkat dan kalau ada apa-apa jadi kat you… you dapat pahala. I minta maaf I lupa sangat sayang.

“Tahlil you Sabtu ni I tunaikan hajat you ye sayang. I minta maaf I betul-betul lupa terima kasih ya Allah sebab ingatkan,” katanya menerusi posting di akaun Instagram Ninierozaini.


Wanita berkenaan, Siti Muhaini Mohd Rozaini berkata, dia benar-benar terlupa mengenai amanat itu sehingga terbaca mesej yang dihantar suaminya menerusi aplikasi WhatsApp, setelah seminggu suaminya meninggal dunia.

Selama mengenali suaminya, wanita berusia 27 tahun itu memberitahu bahawa dia tidak pernah memadam mesej perbualan mereka berdua.

“Tak sangka kerana rindu sangat pada arwah suami sampai saya terjumpa mesej tu. Bila baca, saya rasa bersalah sangat sebab tak tunaikan permintaan dia lebih awal semasa hayatnya. Saya benar-benar terlupa, saya minta maaf sangat-sangat.

“Tapi Allah itu Maha Pemurah, mengingatkan saya untuk melaksanakan satu amanat yang belum tertunai. Ayah saya juga berpesan itu adalah amanat suami yang perlu ditunaikan,” katanya

Suaminya, Muhamad Husaini Jamil, 28, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan selepas menjadi mangsa langgar lari apabila motor yang dinaikinya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat Subang, pada awal pagi 6 April lalu.

Lebih dikenali sebagai Ninie, katanya, dia menunaikan amanat itu pada kenduri tahlil arwah suaminya di kediamannya di Setia Alam, Shah Alam pada Sabtu lalu.

Tambahnya, selain ahli keluarga, teman-teman dan penduduk setempat, kira-kira 40 pelajar tahfiz di kawasan berkenaan hadir pada majlis tahlil itu.

Ninie berkata, dia sekeluarga menyumbangkan sebanyak RM300 bersamaan dengan nilai mas kahwinnya kepada pelajar-pelajar tahfiz berkenaan bagi memenuhi amanat suami.

“Tolong sedekahkan mas kahwin, itu pesan arwah suami dan alhamdulillah, ia telah ditunaikan. Walaupun sedikit ralat, tapi saya juga lega dah penuhi hasratnya. Saya berharap dia lebih tenang di sana selepas ini.

“Ia juga mengingatkan saya bahawa setiap yang dipinjamkan Allah hanyalah sementara dan kita wajar menghargainya semasa mereka di dunia ini,” katanya.

Tags: #Baru terbaca #pesan suami #selepas 3 minggu meninggal