Asah Bakat Terpendam ,Single Pertama Vida Akan Dikeluarkan

191 views

Asah Bakat Terpendam ,Single Pertama Vida Akan Dikeluarkan|Selepas bergelar usahawan kosmetik tersohor, pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Vida bakal melebarkan sayapnya ke bidang muzik untuk mencuba nasib menjadi penyanyi.

Impian terpendam tersebut dikongsikan sendiri oleh Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Vida, impiannya untuk bergelar penyanyi sudah berputik sejak dua tahun lalu walaupun beliau cukup menyedari bahawa tahap vokalnya tidaklah sehebat penyanyi profesional yang ada ketika ini. Namun, beliau melihat cabang muzik sebagai peluang keemasan bukan sahaja untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan, tetapi mampu membuka pintu memasuki pelbagai bidang baharu.

Justeru, Vida mengalu-alukan komposer lama dan baharu yang aktif di tanah air untuk menghantar lagu kepadanya. Mengikut perancangan, Vida mahu melancarkan single pertamanya selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

Kosmo!: Benarkah Datuk Seri Vida sedang serius mahu menjadi seorang penyanyi?

Vida: Ya, memang benar saya mahu bergelar seorang penyanyi, malah impian itu telah disimpan sejak dua tahun lalu. Cuma, sekarang saya rasa waktunya tepat untuk merealisasikan impian tersebut.

Apakah yang mendorong anda untuk menjadi penyanyi?

Sebenarnya saya melihat peluang untuk menjadi penyanyi selepas tertarik dengan kejayaan pelawak terkenal Jepun, Pikotaro yang popular menerusi lagu Pen Pineapple Apple Pen. Suaranya bukanlah sedap, tetapi disebabkan lagunya yang rancak dan ringkas, Pikotaro menjadi fenomena. Saya mahu menjadi sepertinya yang dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Tidakkah anda bimbang dikatakan tamak kerana mahu melakukan semua perkara?

Saya tidak tamak, tetapi saya melihat peluang keemasan dalam bidang nyanyian. Menerusi bidang nyanyian saya akan lebih dikenali dan ia bagus untuk perniagaan. Selain itu, terdapat banyak peluang lain, seperti ditawarkan sebagai duta produk atau kempen promosi apa sahaja aktiviti yang sesuai dengan penyanyi.

Adakah anda yakin dengan tahap vokal sendiri?

Vokal saya tidaklah sehebat penyanyi profesional. Namun, saya yakin mampu menghiburkan orang ramai dan hati sendiri. Lagu yang akan dikeluarkan nanti harus berentak rancak, ringkas dan mudah mesra pada halwa telinga khalayak. Saya mencari lagu yang boleh mencetuskan fenomena.

Siapakah yang akan mencipta lagu pertama anda?

Buat masa ini saya belum menemui lagu yang sesuai. Saya menyeru kepada komposer lama dan baharu tanah air, jika mereka ada lagu yang sesuai silalah hantar lagu demo kepada saya. Cuma pesan saya, lagu tersebut haruslah sesuai bukan sahaja untuk pendengar di Malaysia, tetapi juga antarabangsa. Liriknya haruslah ditulis dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Melayu.

Bilakah single pertama anda akan dikeluarkan?

Mengikut perancangan single pertama akan dikeluarkan selepas sambutan Aidilfitri tahun ini. Jadi, sebelum itu, saya harus mencari material yang sesuai terlebih dulu. Kos pembikinan ditanggung oleh saya sendiri. Namun, saya tidak mahu dituduh buat lagu syok sendiri. Setiap apa yang saya lakukan dan laburkan haruslah ada pulangan kerana muzik itu juga satu cabang perniagaan.

Tags: #album pertama datuk vida #Datuk Vida #Jadi penyanyi

loading...