Anggota polis maut terlibat kemalangan

1528 views

Anggota polis maut terlibat kemalangan|Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Gedong-Serian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang, mangsa, Angat Dusi, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke Gedong di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan selepas menerima laporan berhubung nahas tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta yang berusia 35 tahun serta penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.

Tags: #anggota polis #Maut #terlibat kemalangan