Anak saya Nur Areesa mana? tanya ibu kelar bayi 2 bulan

4314 views

Anak saya Nur Areesa mana? tanya ibu kelar bayi 2 bulan|“,” Anak saya mana ? itu ayat yang berulang kali diluahkan suspek berusia 32 tahun yang dipercayai mengelar bayinya berusia dua bulan 19 hari dengan pisau pemotong sayur di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, Nur Areesa Sofea Jiri ditemui mati di atas tilam di ruang tamu rumah berkenaan dengan kecederaan di bahagian kiri leher.

Ketika kejadian, suami suspek dikatakan keluar membeli makanan di kedai berhampiran sebelum dimaklumkan kejadian itu.

Rakan suspek yang mahu dikenali sebagai Lin, 32, berkata, selepas kejadian, dia sempat menemui wanita itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini.

Katanya, ketika ditemui, rakannya itu dilihat masih meracau dan mencari anaknya.

“Dia bertanya kepada saya beberapa kali di mana Areesa kerana mahu menyusukannya sebaik terdengar suara bayi menangis di hospital itu sebelum saya memberitahunya akan membantu menyediakan susu untuk anaknya itu.

“Kemudian dia menjawab, ‘benda tu suruh aku buat ko (kepada) Areesa’ sebelum dia dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian, rakannya itu mengadu masalah untuk menjaga bayinya menerusi aplikasi WhatsApp bekas rakan sekolah.

“Dia kata, anaknya itu sering meragam dan tidak mahu menyusu botol menyebabkannya berasa tertekan.

“Saya bersama rakan lain menasihatkannya supaya bersabar dan berkongsi tip penjagaan bayi,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu menerusi seorang lagi rakan.

“Saya terkejut kerana tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

“Apa pun saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Tags: #Anak saya Nur Areesa mana #bendatu suruh saya buat #ibu kelar bayi 2 bulan