Alvin Tan cabar Zahid jangan jadi pengecut

705 views

 

alvin tan cabar zahid jangan jadi pengecut

Alvin Tan berkata setakat ini pihak berkuasa lebih hanya mengeluarkan ugutan terhadapnya, namun tiada tindakan diambil terhadap beliau. – Foto Facebook Alvin Tan

 

Alvin Tan cabar Zahid jangan jadi pengecut| Penulis blog lucah kontroversi Alvin Tan mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk benar-benar membatalkan pasport Malaysia miliknya.
Dalam posting status di Facebooknya hari ini, Alvin berkata pihak berkuasa Malaysia sentiasa begitu bersemangat untuk bertindak dan menangkap beliau.
“Jangan sekadar ugut, lakukan saja, jangan jadi pengecut,” kata Alvin yang kini dipercayai berada di Los Angeles dan sedang berusaha mendapatkan suaka di Amerika Syarikat.
“Saya hanya salah satu daripada beribu-ribu suara di Internet mengkritik UMNO.
“Saya benar-benar tidak menimbulkan ancaman politik sedikitpun, namun daripada kalangan semua orang, mereka hanya memilih saya,” ujar Alvin lagi.

Bagaimanapun, katanya lagi, setakat ini pihak berkuasa lebih hanya mengeluarkan ugutan terhadapnya, namun tiada tindakan diambil terhadap beliau.
“Apabila anda membuat ugutan dan gagal untuk mengambil tindakan susulan ke atas kenyataan itu, kredibiliti akan terhapus sedikit demi sedikit.
“Saya merasa amat malu untuk mengatakan bahawa saya secara teknikal masih warga Malaysia,” cabar Alvin lagi.
Terdahulu pagi tadi Zahid berkata, kerajaan akan menggunakan Akta Imigresen bagi membatalkan pasport antarabangsa Alvin Tan, sebagai usaha membawa pulang blogger lucah itu untuk dihadapkan ke mahkamah.
Zahid berkata, tindakan pembatalan pasport itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Mengikut Akta Imigresen 1959/1963, kita ada kuasa untuk batalkan pasport mana-mana penjenayah yang berada di luar negara, bagi membawa mereka pulang.
“Tindakan itu kita akan buat dalam masa terdekat, mungkin esok kita akan batalkan,” kata Zahid selepas melancarkan Pasukan Petugas Khas Bagi Membanteras Kegiatan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (STAGG), pada Ahad.
Alvin mencetuskan kontroversi baru apabila didapati menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam status akaun Facebooknya.
Dalam catatan itu, dia mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran yang dikurniakan kepada mana-mana individu.
Status itu dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor, selepas baginda menarik balik gelaran ‘Datuk Seri’ daripada Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Disember lalu.
Alvin dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee sebelum ini didakwa di bawah Akta Hasutan, kerana memuat naik catatan ‘bak kut teh’ pada Ramadan tahun lalu, yang menghina umat Islam.
Namun di sebalik imej berani yang ditunjukkan, Alvin melanggar syarat ikat jamin dan melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan suaka politik.

 

Tags: #Alvin Tan #batalkan pasport #Cabar #cabar ahli pilitik #kritik UMNO #Politik #zahid hamidi