Ajal wanita dirempuh kereta polis

2194 views

Ajal wanita dirempuh kereta polis|WANITA maut manakala anak saudaranya parah apabila motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan kereta peronda polis di Kilometer 6 Jalan Kuala Kubu Bharu-Rasa berhampiran Kuala Kubu Bharu, 1.30 tengah hari tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Rasa ke Kuala Kubu Bharu (KKB) sebelum bertembung dengan kenderaan polis yang terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai ketika dihubungi berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal dikenali sebagai S Umavathy, 25, maut di tempat kejadian manakala anak saudaranya, 6, yang membonceng parah.

Katanya, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan termasuk kereta Perodua Alza dipandu wanita berusia 35 tahun serta kereta jenis Toyota dipandu lelaki warga Jepun berusia 45 tahun.

“Kejadian berlaku apabila Perodua Alza dan kenderaan polis yang dalam perjalanan dari KKB ke Rasa cuba mengelak kereta Toyota yang berhenti di kiri jalan selepas selekoh.

“Kedua-dua pemandu Perodua Alza dan kenderaan polis yang terkejut tidak dapat mengawal kenderaan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

Bhak Pai berkata, ketika terbabas ke laluan bertentangan, Kenderaan polis terbabit kemudian berlanggar dengan motosikal ditunggang mangsa yang melalui jalan terbabit.

Katanya, penunggang motosikal, Umavathy meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak terbabit mengalami patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Manakala kes itu kita siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tags: #Ajal wanita #Dirempuh #kereta polis