Ajal tunggu azan subuh

1852 views

Ajal tunggu azan subuh|Bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia ketika dalam persiapan menunaikan solat Subuh, di rumah anaknya di Pantai Dalam, pagi tadi.

Anaknya, Akramsyah Sanusi berkata, Allahyarham ditemui ahli keluarga dalam keadaan terduduk ketika menunggu azan Subuh.

“Malam tadi, beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi dia bangun dan mengambil wuduk seperti biasa.

“Ketika menunggu azan Subuh, kami jumpa arwah sudah tiada, dia ‘pergi’ dalam keadaan yang baik..” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, Sanusi ada menghidap beberapa penyakit termasuklah masalah jantung.

Akramsyah berkata, jenazah disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas Solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Tags: #Bekas Menteri Pertanian #meninggal dunia #Tan Sri Sanusi Junid