Ajal Sadis Ditangan Kekasih

1920 views

Ajal Sadis Ditangan Kekasih|Ajakan berkahwin seorang wanita membawa maut apabila dia ditikam 28 kali oleh kekasihnya sendiri di kediamannya di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, wanita warganegara Indonesia berusia 38 tahun itu ditemui terlentang di lantai kediaman dengan kesan tikaman di belakang badan, perut, leher dan tengkuk disyaki menggunakan pisau yang turut ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, sebelum kejadian itu dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek selepas mangsa dipercayai mendesak suspek agar mengahwininya.

“Mangsa kemudiannya ditikam secara bertubi-tubi sehingga mati sebelum suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui jiran yang kebetulan lalu di hadapan rumah mangsa selepas curiga dengan keadaan pintu rumah yang terbuka,” katanya kepada Pemberita pada Sidang Media, di IPD Shah Alam, di sini hari ini.

Menurutnya, ekoran kejadian itu polis menggerakkan usaha menjejaki suspek.

“Kurang tempoh dua jam, polis berjaya memberkas suspek yang berusia 40 tahun di kawasan tempat letak kenderaan di Seksyen 13, di sini.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak berkahwin itu mengalami masalah mental.

“Polis akan dapatkan pengesahan tersebut daripada pihak hospital dalam masa terdekat,” katanya.

Justeru itu, katanya, suspek yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian elektrik akan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kata Baharuddin lagi, kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Tags: #Ajal #Dibunuh #Kekasih