Ajal Kembar Bersama Ibu Bapa

686 views

Ajal Kembar Bersama Ibu Bapa|Empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia satu tahun maut dalam kemalangan membabit dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas di sini.

Penguasa Kanan Bomba II daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Roslan Sahrani berkata dalam kejadian pukul 3.20 petang Sabtu, kereta Proton Saga yang dinaiki enam sekeluarga dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki yang berusia 62 tahun yang datang dari arah bertentangan.

“Yang maut ditempat kejadian adalah pemandu kereta itu yang berumur 37 dan seorang wanita berumur lingkungan 60 tahun, manakala dua daripada tiga bayi kembar setahun yang turut berada dalam kereta Proton Saga itu meninggal dunia di Hospital Tampin ketika mendapatkan rawatan.

“Manakala pemandu Proton Persona pula patah kaki dan dirawat di hospital yang sama,” katanya kepada Bernama di sini.

Mangsa yang maut adalah Mohd Fadzil Jusoh, 37; Nazipah Chik, 60; dan dua anak Mohd Fadzil iaitu Muhd Farhan dan Nur Farhana, masing-masing berusia setahun.

Manakala mangsa yang cedera ialah isteri dan anak Mohd Fadzil iaitu Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, dan Muhd Fahimi, setahun serta pemandu Proton Persona, Abdullah Lebai Abas, 62.

Kesemua enam sekeluarga itu beralamat di Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman, Terengganu.

Katanya pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.26 petang mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan pemandu Proton Saga yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Ketika kami sampai ada mangsa daripada Proton Saga telah dikeluarkan oleh orang ramai manakala pemandunya berada dalam kereta dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata yang turut cedera ialah adik Mohd Fadzil iaitu Nursyuhaidah Jusoh, 23, yang turut berada dalam kenderaan itu dan kini di rawat di hospital yang sama.

“Kesemua mereka dari Terengganu dan melalui jalan Gemas menuju Tampin untuk ke Muar bagi menghadiri majlis kenduri.

“Sampai dilokasi, pemandu Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan pemandu Proton Persona tidak sempat mengelak kenderaannya lalu bertembung,” katanya kepada pemberita.
Hamazah berkata Nazipah yang turut maut dalam kemalangan itu merupakan ibu kepada Mohd Fadzil.

“Urusan post mortem dijangka dijalankan esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tags: #bayi kembar maut #Kemalangan #tampirn