Ajal balik rai hari lahir

2853 views

Ajal balik rai hari lahir|Wanita maut pada ulang tahun kelahirannya yang ke-27 semalam selepas kereta yang dinaiki dipercayai melanggar tembok batu tol di Plaza Tol Batu Tiga di sini, tengah malam tadi.

Mangsa dan rakannya yang turut maut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada meraikan ulang tahun hari kelahirannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian 12.55 tengah malam tadi, Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, dan rakannya, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati, Fathurezza Khoirul Huda dipercayai memandu secara laju dan gagal mengawal kenderaan terbabit lalu merempuh tembok tol itu.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat 9.30 pagi ini,” katanya ketika dihubungi.

Baharudin berkata, berdasarkan maklumat pengenalan diri, Fathurezza Khoirul Huda seorang mekanik beralamat di Padang Jawa, Shah Alam manakala Noor Hidayah pula beralamat di Seksyen 24, Shah Alam.

“Polis sudah menghubungi dan memaklumkan kepada waris kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pasukannya menerima panggilan pada 12.46 tengah malam dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati dua mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat duduk pemandu dan penumpang.

“Mangsa tersepit akibat rempuhan kuat di bahagian hadapan Perodua Myvi berwarna emas dengan pembahagi antara tol terbabit.

“Bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

“Akibat rempuhan itu juga, enjin kenderaan terbabit remuk,” katanya.

Syed Shahril Anuar berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, operasi mengeluarkan mayat mangsa itu diketuai oleh beliau sendiri bersama 12 pegawai dan anggota BBP Subang Jaya.

Kemalangan maut terbabit adalah kejadian kedua yang membabitkan kematian selepas Plaza Tol Batu Tiga ditutup secara rasmi pada 1 Januari lalu.

Pada 15 Januari lalu, Harian Metro melaporkan dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan di plaza tol terbabit.

Dalam kejadian bulan lalu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar plaza tol berkenaan.