Aidiladha Dicemari Kisah Seram Hantu Penanggal

2580 views

seram

Aidiladha Dicemari Kisah Seram Hantu Penanggal|Pengertian sebenar Hari Raya Aidiladha diraikan kelmarin, dicemari dengan kisah seram hantu penanggal yang didakwa masih bebas berkeliaran menakutkan penduduk di sini.

Cerita kemunculan lembaga berkenaan tersebar sejak hujung minggu lalu yang masih menjadi bahan bualan hangat penduduk sehingga menjadi viral di laman sosial popular, Facebook.

“Setelah mendengar cerita hantu ini, emak saya takut membuka pintu dapur semasa hendak memasak daging untuk Hari Raya malam tadi (malam raya).

“Sehingga periuk dan keperluan memasak yang disimpan di luar dapur dibawa masuk kerana takut untuk keluar. Perasaan takut ini tidak pernah dialami pada malam raya sebelum ini,” cerita rakan penulis.

Rakan penulis (wanita) dinasihati oleh ibu saudaranya agar sentiasa membawa limau kapas ketika keluar rumah selain meletakkan benda-benda berduri di dalam kereta sebagai perlindungan dan senjata daripada dihampiri hantu tersebut.

Hantu penanggal lebih dikenali hantu bebalan dan hantu kepala terbang oleh masyarakat setempat di sini didakwa mengganggu wanita khasnya wanita mengandung.

Kumpulan Facebook popular di Miri, Miri Community (MC) dijadikan sumber dan medan untuk ahli-ahli berkongsi gambar, cerita dan pengalaman mereka.

Walaupun ramai masih tidak percaya, kisah paranormal ini menarik perhatian pengguna Internet dari luar Miri yang turut sama berkongsi gambar dan pengalaman menemui lembaga tersebut.

Kerana viral, ia juga dijadikan bahan gurauan oleh pengguna Internet sehingga ada yang berani menampal wajah-wajah orang kenamaan di gambar hantu itu.

Semalam, seorang ahli di laman MC ditegur kerana mengaitkan kepala lembu yang dikorbankan sebagai hantu penanggal yang ditangkap.

Mengulas perkara ini, Guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan (SK) Sayed Othman Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif berkata masyarakat khasnya umat Islam harus matang menolak kepercayaan tahyul.

Beliau berkata, sambutan Aidiladha merupakan hari penting dalam kalendar Islam harus memperkasa kekuatan dan keyakinan masyarakat Islam menolak segala bentuk kepercayaan karut dan tahyul.

“Lebih bahaya jika kepercayaan khurafat diselitkan dengan cerita rekaan dan berunsur fitnah,” katanya di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Nassru berkata manifestasi kesatuan umat Islam boleh dilihat daripada pertemuan dan perhimpunan umat Islam seluruh dunia di Mekah menunaikan ibadah haji.

Oleh itu, beliau tidak mahu ajaran Islam dan penyatuan penduduk dikotori kerana perasaan takut dan taksub terhadap watak tahyul seperti hantu bebalan.

“Al-Quran mengajar kita mencari kebenaran, bukan menyebar sesuatu tanpa usul dan kebenaran.

“Renungi firman Allah: ‘Wahai orang-orang yang beriman ketika datang kepada kalian orang yang fasik dengan membawa suatu berita maka tabayyunlah (carilah kebenaran berita)’ – Surah Al-Hujurat, Ayat 6,” jelas beliau

 

Tags: #AidilAdha #hantu penaggal #miri