Ahli keluarga merayu untuk tatapan terakhir

2758 views

gambar samping kiri:isteri dan dua anak dr fadi

Ahli keluarga merayu untuk tatapan terakhir|Keluarga Imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma merayu supaya jenazahnya dibawa pulang ke Gaza, Palestin untuk dikebumikan.

Pengurus besar Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Dr Mahmoud Shakfa berkata, selepas kali terakhir bertemu Fadi tujuh tahun lalu, keluarganya berpesan supaya membawa pulang jenazahnya untuk tatapan buat kali terakhir.

“Ayah kepada Fadi menghubungi kami, merayu supaya jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia.

“Seluruh keluarganya terutama ibu dan adik beradiknya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Usaha kini sedang dijalankan dengan kerjasama dari pihak kedutaan Palestin, Mesir dan Malaysia untuk urusan logistik membawa jenazah ke Gaza, mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang, hari ini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Mohd Zin Kandar berkata, pihaknya berharap urusan membawa pulang jenazah Fadi dapat dipermudahkan.

“Demi kemanusiaan, kami berharap supaya kerajaan Mesir tidak menghalang usaha untuk membawanya pulang, jangan nafikan hak keluarganya untuk menatap buat kali terakhir jenazah Fadi.

“Berdasarkan pengalaman, laluan paling segera untuk ke Gaza adalah melalui Rafah, sempadan Mesir dan Palestin, harapan kami semua pihak yang berkaitan dapat memberi kerjasama penuh,” katanya.

Sementara itu, keadaan di perkarangan bilik mayat Hospital Selayang dipenuhi sahabat dan komuniti Palestin yang ingin melihat jenazah Fadi buat kali terakhir.

Selain itu, kakitangan Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) turut berada di hospital bagi membantu menguruskan jenazah.

Tags: #Ahli Keluarga #Merayu #tatapan terakhir