Adik nampak mayat kakak selepas hilang 2 hari

4140 views

Adik nampak mayat kakak selepas hilang 2 hari|Seorang pelajar sebuah kolej swasta tidak sempat menyambut Aidilfitri apabila ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh daripada Tingkat 10 Bangunan Soho Vista Alam, di sini pagi tadi.

Difahamkan, mayat wanita berusia 28 tahun yang merupakan pelajar jurusan perubatan sebuah kolej di Subang Jaya itu telah kembung dan dipercayai telah mati lebih dari dua hari.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik lelaki mangsa mengatakan ternampak mayat kakaknya di tingkat satu menerusi balkoni rumah tersebut.

“Menurut adik mangsa, dia telah mencuba menghubungi kakaknya sejak semalam, bagaimanapun gagal. Adik mangsa yang cuba mencari kakaknya di rumahnya mendapati pintu rumah tidak berkunci sebelum ternampak mayat di tingkat satu.

“Kita kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai berlaku pertelingkahan antara mangsa dan mana-mana individu, Shafien berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Menurut adiknya, mangsa menyewa di kediaman ini sejak setahun yang lalu seorang diri. Oleh itu, kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kenalan mangsa.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Ahmad Nazmi Halil berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.12 tengah hari sebelum lapan anggota termasuk satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi mendapati terdapat satu mayat wanita lengkap berpakaian yang dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mangsa,”jelasnya.

 

Tags: #Adik nampak mayat kakak selepas hilang 2 hari