Adik Mimpi Abang Sehari Selepas Dikubur

1054 views

Adik Mimpi Abang Sehari Selepas Dikubur|”Terima kasih semua sebab doakan abang, abang dah bahagia di sini. Jangan risau.”Itu adalah kata-kata terakhir abang ketika suaranya menjelma dalam mimpi saya kira-kira jam 4 pagi semalam,” kata adik kepada arwah Abdul Azim Amzar Azmi, 21, penuntut Malaysia di New Zealand yang lemas ketika mandi di Tasik Karapiro Isnin lalu.

Aziatul Farisha Azmi,19, berkata, dia tidak dapat melihat wajah abangnya dan hanya mendengar suara di dalam mimpi namun, kata-kata itu sudah memadai buat dirinya.
“Sebaik terjaga, saya terus mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Alhamdulillah, saya reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut kelihatan Timbalan Pengarah Pejabat Antarabangsa Universiti Waikato, New Zealand Margaret Anderson, Dekan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Jamel Othman, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal UniKL Wan Mansor Wan Muhamad dan beberapa ahli keluarga lain.

Jenazah Abdul Azim Amzar selamat tiba di KLIA pada jam 8.54 malam dengan menaiki pesawat MH130 dari Auckland.

Kenderaan yang membawa jenazah dilihat keluar dari Kompleks Kargo kira-kira jam 10.30 malam, sebelum dibawa ke Balai Polis KLIA bagi proses dokumentasi.

Selepas selesai semua urusan, jenazah kemudian terus dibawa balikke kampung halamannya di Kedah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Kampung, Alor Setar Kedah sebelum Jumaat, esok.

Aziatul Farisha yang juga penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) berkata, perwatakan abangnya sedikit berubah ketika pulang bercuti selama tiga bulan baru-baru ini.

“Abang lebih banyak berdiam diri di dalam bilik dan lebih gemar makan bersendirian berbanding sebelum ini kami sekeluarga akan berkumpul untuk makan bersama-sama.

“Malah, ketika kami menghantar dia (arwah) ke stesen bas di Alor Setar untuk pulang semula ke New Zealand, dia masih berdiam diri dan tiada kata-kata terakhir kepada kami semua,” katanya.

Penuntut bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Waikato, Hamilton, New Zealand itu

dilaporkan hilang ketika mandi di Tasik Karapira, sebelum ditemui lemas, Isnin lalu.

Mayat Abdul Azim Amzar Azmi, ditemui pasukan penyelamat New Zealand pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan (7.30 pagi waktu Malaysia).

Mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di tasik itu 3.30 petang waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia), Ahad lalu.

Tags: #adik mimipi abang #Adik Mimpi Abang Sehari Selepas Dikubur #mangsa lemas #pelajar malaysia #sehari selepas dikubur