3 Dihukum gantung sampai mati seorang bebas

236 views

3 Dihukum gantung sampai mati seorang bebas|Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan manakala R Matan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lagi.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan ketiga-tiga tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap mereka.

“Mahkamah mendapati bukti terhadap ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan itu adalah lebih daripada mencukupi.

“Apabila semua mangsa berada di ladang milik Pathmanabhan itu, ketiga-tiga tertuduh mempunyai segala peluang untuk melakukan pembunuhan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah dalam keputusannya membebaskan Matan selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk mensabitkan tertuduh ketiga itu.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan selepas ini boleh mengemukakan petisyen pengampunan kepada Sultan Selangor.mymetro

Tags: #3 Dihukum gantung sampai mati seorang bebas #bunuh susila wati #kes bunuh susila wati