121 Peneroka Gagal Dapat Kebenaran Merayu

398 views

PUTRAJAYA – Sebanyak 121 peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 gagal dalam tuntutan mereka untuk mendapatkan caruman tabung tanaman semula selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar sebulat suara menolak permohonan peneroka untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Pada 4 April, tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Felda untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM1.8 juta kepada peneroka berkenaan.
Hakim Suriyadi juga mengarahkan para peneroka membayar kos guaman RM10,000 kepada Felda.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ramly Ali.
Sebanyak 96 peneroka Felda Kemahang 1 dan 25 peneroka Felda Kemahang 2 mengemukakan saman sivil terhadap Felda pada 2004 berhubung tuntutan wang caruman bawah tabung tanaman semula yang mereka dakwa telah mencarum selama 18 tahun dari 1981.
Peneroka itu mendakwa mereka telah mencarum RM4 seekar atau RM56 sebulan untuk membantu membiayai tanaman semula.
Para peneroka itu mendakwa bahawa mereka cuba memohon daripada Felda untuk dana di bawah skim tanaman semula pokok tetapi Felda tidak meluluskannya.
Pada 14 Jun, 2011, Mahkamah Tinggi Kota Baharu membenarkan tuntutan peneroka dan memerintahkan Felda membayar RM1.2 juta, jumlah wang pokok caruman oleh peneroka.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Felda membayar dividen yang tertunggak berdasarkan caruman peneroka terbabit.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa tabung tanaman semula hanya boleh dikeluarkan kepada peneroka selepas peneroka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Felda melalui garis panduannya.
Para peneroka itu diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud sementara Felda diwakili sekumpulan peguam diketuai Datuk S. Kulasegaran. – BERNAMA

Tags: #Dapat #Gagal #Kebenaran #Merayu #Peneroka